PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan kuota Bumiputera dalam
penempatan pelajar ke program matrikulasi akan terus dikekalkan, namun pada
masa yang sama mengiktiraf calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan
prinsip meritokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa prinsip itu adalah adil dan munasabah selagi mereka yang cemerlang itu sebahagian daripada rakyat Malaysia tanpa mengambil kira jenis kaum.
"Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau pelajar itu rakyat kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi," ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, Anwar tidak menolak setiap kali wujudnya kuota bumiputera, pengumuman tersebut
sering dibahaskan secara keterlaluan sehingga menyebabkan ketegangan kaum serta sosial.
“Tiap kali kita ada kuota bumiputera, satu pihak menafikan hak minoriti manakala satu lagi pihak pula mempertikaikan prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera.
Anwar berkata bahawa dasar kuota bumiputera harus dikekalkan kerana sudah digubal sejak sekian lama dan berkait rapat dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153 agar masa depan Melayu tidak berlaku kesenjangan.
Pengekalan kuota khas untuk pelajar Bumiputera ke
matrikulasi ini dilihat sebagai satu satu langkah affirmatif untuk meningkatkan serta menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang pendidikan tinggi.
Mengulas lanjut, prinsip meritokrasi yang diamalkan pula perlu mengikut konsep keadilan dan kesaksamaan untuk mengekalkan dasar inklusif dalam sistem pendidikan, disamping memastikan keadilan kepada semua pelajar yang berusaha keras dalam pelajaran mereka.
“Kena ingat, sementara kita setuju prinsip meritokrasi, kita
harus pertahan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Kalau tekankan soal merit sahaja, maka orang yang miskin akan kekal sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis
perjumpaan Perdana Menteri Bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini
hari ini.
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews