Tangkap layar video tular yang memaparkan kerbau terlepas ketika penduduk kampung sedang bergotong royong mengadakan ibadah korban di Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu. |
KOTA KINABALU – Seorang wanita mengalami kecederaan setelah seekor kerbau yang mahu dijadikan korban terlepas daripada ikatan dan merempuh penduduk kampung dalam kejadian di Kampung Rampayan, Manggatal, pada pagi Isnin.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 40-an mengalami kecederaan retak pada tulang kaki kiri. Mangsa telah segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur Rampayan, Ali Osman Ismail, memberitahu bahawa kerja-kerja penyembelihan ibadah korban di kampung tersebut melibatkan lima ekor kerbau.
“Ketika penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih, salah satu tali pada kerbau tersebut terputus, menyebabkan ia terlepas,” kata Ali Osman.
Tambahnya lagi, kerbau tersebut bertindak liar dengan berlari dan berpusing di sekitar kawasan, merempuh beberapa penduduk yang berada di lokasi kejadian.
“Seorang wanita yang sedang berusaha menyelamatkan anaknya menjadi mangsa dirempuh oleh kerbau tersebut sehingga mengalami kecederaan,” jelasnya.
Susulan insiden itu, penduduk kampung terpaksa menghubungi pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan. Selepas diperiksa, wanita tersebut didapati mengalami keretakan pada tulang kaki kiri dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Alhamdulillah, selepas beberapa usaha, penduduk kampung berjaya menangkap semula kerbau tersebut dan haiwan tersebut telah selamat disembelih seperti yang dirancang,” tambah Ali Osman.
Sebelum kejadian ini, sebuah video yang menunjukkan kerbau tersebut terlepas ketika penduduk kampung sedang bergotong-royong mengadakan ibadah korban telah tular di media sosial.
Video tersebut turut menunjukkan seorang wanita yang cedera akibat dirempuh kerbau dibawa menaiki ambulans.
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MyBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews