KUALA LUMPUR - Persatuan Haiwan Malaysia hari ini mengumumkan tawaran ganjaran RM3,000 kepada mana-mana individu yang dapat memberikan maklumat berkenaan tindakan kejam seorang lelaki yang didapati melapah kulit seekor kucing.
Dalam video dan gambar yang dikongsi oleh persatuan tersebut di laman Facebook, lelaki berkenaan dilihat seperti seorang warga asing berdasarkan dialek bahasanya.
“Lelaki yang sedang melapah kucing ini dipercayai berbangsa Myanmar dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pelat warga asing," jelas kenyataan persatuan itu.
Ganjaran RM3,000 ditawarkan kepada saksi yang boleh memberikan maklumat dan mengesahkan kejadian sehingga pelaku dapat ditangkap, dibuktikan bersalah, dan dijatuhi hukuman yang setimpal.
Pihak persatuan turut menyeru mana-mana saksi untuk tampil berkongsi maklumat bagi membantu siasatan lanjut.
“Sahabat, saudara, kenalan, jiran atau sesiapa sahaja di negara ini yang pernah melihat lelaki yang sedang melapah kucing ini diminta untuk menyalurkan maklumat lengkap kepada Persatuan Haiwan Malaysia di talian 014-6345464 supaya satu laporan rasmi dapat diajukan kepada pihak berkuasa.
“Satu siasatan menyeluruh mengenai pembunuhan kucing ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti kaedah mematikan kucing dan niat mematikan kucing, sama ada ia bertujuan untuk dijadikan makanan atau sekadar suka-suka," kata kenyataan itu lagi.
Persatuan Haiwan Malaysia juga menegaskan bahawa jika siasatan mendapati kucing tersebut sengaja dibunuh untuk tujuan kandungan media sosial, pelaku perlu ditangkap, disiasat secara menyeluruh, dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Persatuan Haiwan Malaysia mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk menegakkan keadilan bagi kucing malang tersebut dan memastikan pelaku menerima hukuman yang setimpal atas tindakan kejamnya.
#kejam #jenayah #ganjaran
Ikuti kami di semua platform media sosial MYBERITA!
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews