REMBAU – Seramai 105 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdullah, Rembau mengikuti Program Alam University Awaits anjuran pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.
Menurut penasihat program, Nurul Nisha, program yang julung kalinya diadakan ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah motivasi, perkongsian pengalaman oleh mahasiswa UiTM, sesi soal jawab, dan aktiviti dalam kumpulan yang interaktif.
![]() |
Pelajar SMK Datuk Abdullah sedang mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. (Foto Adam Hafiz Ahmad) |
Idea pelaksanaan program ini tercetus memandangkan terdapat trend di mana ramai pelajar menolak untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi selain program ini adalah sebahagian daripada kursus kokurikulum HPD 239: Asas Fasilitator II.
Segala aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk membuka minda pelajar sekolah tentang peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan kelebihan menjadi seorang graduan, yang pastinya amat penting bagi mendapatkan masa depan yang cerah.
![]() |
Pelajar SMK Datuk Abdullah sedang mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. (Foto Adam Hafiz Ahmad) |
Program ini juga memberikan pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Terdapat tiga slot utama dalam program tersebut iaitu ceramah motivasi, sesi Mentor Mentee, dan aktiviti kumpulan.
Sesi ceramah motivasi disampaikan oleh Nurul Nisha Mohd Shah, yang juga merupakan pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.
Menerusi sesi Mentor Mentee pula, para fasilitator yang juga merupakan mahasiswa UiTM kampus Rembau daripada pelbagai fakulti berkongsi segala pengalaman mereka sewaktu menempuh alam universiti.
Para pelajar sekolah digalakkan untuk bertanya pelbagai soalan berkaitan kehidupan kampus terutamanya nasihat dalam menempuhi cabaran yang datang.
Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kejayaan akademik, menyediakan maklumat yang jelas dan tepat tentang kehidupan universiti dan peluang yang ada, serta menggalakkan kerjasama dan interaksi profesional antara pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti.
![]() |
Pelajar SMK Datuk Abdullah sedang menyertai aktiviti yang disediakan fasilitator. (Foto Adam Hafiz Ahmad) |
Sesi terakhir adalah aktiviti berkumpulan yang menggalakkan kerjasama dan komunikasi antara pelajar dalam kumpulan.
Program ini diharapkan dapat membuka minda pelajar sekolah menengah tentang kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara melalui peningkatan bilangan graduan yang berpendidikan tinggi.
Ikuti kami di semua platform media sosial MYBERITA!
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews