KUALA LUMPUR - Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2024/2025 ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik kini dibuka sehingga 22 Julai depan.
Mulai sesi akademik ini, tiga program tambahan ditawarkan, menjadikan jumlah keseluruhan program Ijazah Sarjana Muda yang disediakan oleh Politeknik meningkat kepada sepuluh.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan menyatakan bahawa pelajar yang berminat boleh membuat permohonan melalui laman web http://ambilan.mypolycc.edu.my tanpa perlu membeli nombor pin.
Menurut kenyataan itu, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Diploma atau Diploma Lanjutan Politeknik serta pelajar semester akhir Diploma Politeknik dan Kolej Komuniti (sesi II: 2023/2024 tamat latihan industri) melalui program laluan khas.
“Mulai sesi akademik 2024/2025, tiga program tambahan diperkenalkan, sekali gus menjadikan 10 program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan bagi sesi akademik berkenaan,” kata JPPKK.
Penambahan program ini adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Agenda Pembaharuan Kritikal (CRA) ke-9.
Pelan ini bertujuan untuk menjadikan Politeknik Malaysia sebagai model Politeknik masa hadapan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Advanced TVET) yang cemerlang.
Selain itu, pelan peluasan akses di bawah pelan ini juga membolehkan lepasan diploma kolej komuniti, lepasan asasi TVET, lepasan asasi universiti awam, dan lepasan matrikulasi Kementerian Pendidikan untuk memohon program Ijazah Sarjana Muda di Politeknik mulai sesi akademik 2024/2025.
Maklumat lanjut mengenai program dan syarat permohonan boleh dirujuk dengan melayari pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MyBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews