![]() |
Anggota Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan siasatan di lokasi penemuan rangka manusia berhampiran Kompleks Penghulu Linau, Batu Pahat pagi tadi. |
BATU PAHAT – Satu rangka yang dipercayai milik pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu telah ditemui di tepi tebing Jalan Yong Peng, berhampiran Kompleks Penghulu Linau di sini, pagi tadi.
Identiti rangka tersebut semakin diyakini sebagai Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, apabila sebuah motosikal yang hampir sama dengan yang digunakan oleh remaja itu ditemui tersangkut pada celah batang pokok bersebelahan kebun durian.
Turut dijumpai di lokasi adalah jaket dan topi keledar milik Hafiz Fauzan.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka tersebut.
Hafiz Fauzan, anak ketiga daripada tujuh beradik, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada malam 26 Mei lalu untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.
Bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, telah berusaha mencari remaja tersebut dengan meninjau di beberapa jalan termasuk Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk yang diperoleh.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan bahawa pasukan forensik berada di lokasi penemuan rangka tersebut.
Beliau menyatakan bahawa pengesahan identiti rangka itu akan dilakukan selepas mendapat laporan daripada forensik.
#mayat #forensik #semasa
Ikuti kami di semua platform media sosial MYBERITA!
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews