SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor bersetuju melancarkan usaha bersama yang memberikan peluang kepada semua pihak termasuk para peminat Selangor FC untuk mengumpul dana bagi membayar denda RM100,000 yang dikenakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata keputusan ini dibuat selepas beliau berbincang dengan Exco Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi dan mengambil iktibar serta pedoman titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Maklumat lanjut mengenai usaha ini akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan Exco Sukan Negeri.
“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin menyatakan beliau mewakili kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin yang murka atas keputusan yang dibuat oleh MFL kepada Selangor FC.
Tegas beliau, titah murka Sultan Selangor tersebut turut menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa, serta melampaui batas.
“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri Saudara Faisal Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air.
“Sebagai badan mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, titah Sultan Sharafuddin dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor dimainkan tanpa penonton.
“Tambahan itu, MFL bertindak menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata pada masa pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.
“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab ,” ujarnya.
Ikuti kami di semua platform media sosial MYBERITA!
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews