![]() |
Pesawat ringan Piper PA-28-161 selamat mendarat cemas di Pelabuhan Klang (Foto MG) |
SHAH ALAM – Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 yang dinaiki dua individu terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran Bandar Sultan Suleiman di Pelabuhan Klang, hari ini.
Insiden ini melibatkan pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-ANA
yang dikendalikan Kelab Penerbangan Subang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri
Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata bahawa pihaknya menerima panggilan
kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.13 petang.
“Pesawat ringan dengan nombor pendaftaran 9M-ANA telah diperiksa dan tidak menunjukkan tanda-tanda kebakaran, "katanya.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata bahawa pesawat
tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 2.50
petang.
"Menara Kawalan
Subang menerima panggilan 'mayday' pada pukul 2.58 petang," kata beliau
dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan panggilan kecemasan tersebut, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATACC) segera diaktifkan pada jam 3.10 petang untuk mengatur operasi mencari dan menyelamat.
Difahamkan kedua-dua mangsa, Rolando Barba Jr dan Muhammad Ridz Farhan Ridzwan masing-masing juruterbang dan pelatih juruterbang itu dilaporkan selamat dalam kejadian itu.
Kapten Norazman turut menyatakan bahawa siasatan akan
dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016
untuk menentukan punca sebenar kejadian.
Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan dan
kebajikan semua yang terlibat serta mencegah kejadian serupa pada masa akan
datang.
#MYBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews