Foto hiasan (ARKIB) |
IPOH - Mulai 1 Mei ini, pengguna air di Perak perlu bersedia dengan kenaikan kadar tarif air sebanyak lima sen setiap meter padu, yang merupakan yang pertama selepas 18 tahun.
Menurut kenyataan dari Pejabat Menteri Besar Perak, tarif baharu domestik kini ditetapkan pada 75 sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan.
Ini merupakan kenaikan daripada kadar sebelumnya iaitu 70 sen. Bagi penggunaan antara 21 hingga 35 meter padu sebulan, kadar baharu adalah RM1.08 berbanding RM1.03 sebelum ini. Sementara itu, kenaikan lima sen juga dikenakan bagi setiap meter padu bagi pengguna bukan domestik.
Bagi mengurangkan kesan kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat sebanyak 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan, setara dengan RM4.00 sebulan.
Menurut kenyataan itu, dengan rebat tersebut, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu, berbanding 75 sen tanpa rebat.
Caj minimum bagi penggunaan domestik pula turut diturunkan kepada RM3.50 selepas mengambil kira rebat.
Penetapan tarif baharu ini tidak akan menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.
Walaupun terdapat kenaikan, tarif baharu di Perak masih dianggap rendah berbanding dengan purata kenaikan 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Tarif air terakhir kali naik pada tahun 2006.
Kerajaan Negeri memutuskan supaya LAP menggunakan kenaikan tarif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, termasuk menggantikan paip lama dan meningkatkan aspek penyelenggaraan.
LAP juga memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program penambahbaikan, termasuk pembinaan loji rawatan air terutamanya di kawasan pembangunan baharu.
Keputusan kenaikan tarif air ini adalah susulan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik yang berkuat kuasa pada 1 Februari sebelum ini. - BERNAMA
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#myBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #malaysiamadani #lamansocialtainment #terkini #blogger #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews